Klik untuk berkunjung

Klik untuk berkunjung
Sebuah karya e-novel interaktif

Wednesday, May 20, 2009

Bagaimana menikmati kehidupan ini seadanya

Apakah perkara dalam hidup ini yang anda perlukan untuk menikmati hidup dengan sepenuhnya? Adakah wang ringgit? Menjadi seorang terkenal atau selebriti? Atau memiliki sebuah pulau percutian atau mahligai di sebuah pantai eksotik?

Jika seseorang memberitahu anda anda boleh menikmati hidup ini sebagai diri anda sekarang ini, tentu anda akan tergelak besar atau memperkecilkannya. Anda mungkin berfikir ada masih banyak perkara anda ingin capai dalam hidup dan bertungkus-lumus siang dan malam untuk mencapainya.

Teruskan membaca dan anda akan tahu 10 rahsia untuk menikmati hidup ini dengan sempurna dengan keadaan anda sekarang.


1. Sentiasa gembira
Kegembiraan bukanlah hasil dari keadaan atau kejadian, tetapi ia adalah pilihan yang anda buat. Tidak kira apa masalah dan kekurangan yang anda hadapi anda boleh memilih untuk gembira. Perasaan gembira akan memberi kesan positif pada diri anda dan menjadikan hasil kerja kita lebih baik dan menyeronokkan.

"Kegembiraan tidak akan datang kepada mereka yang tidak tahu menghargai apa yang mereka ada"

- Tidak Bernama



"Kegembiraan bukan bergantung kepada siapa anda atau apa yang anda miliki, tetapi bergantung hanya kepada apa yang anda fikirkan"
Dale Carnegie (1888-1955), Penulis berbangsa Amerika



"Kejayaan bukan kunci kegembiraan. Kegembiraan adalah kunci kejayaan. Jika anda cinta apa yang anda sedang lakukan, anda akan berjaya"

Albert Schweitzer (1875-1965), Ahli teologi, ahli falsafah dan ahli fizik berbangsa Jerman




2. Sentiasa rasa cukup dengan apa yang ada
Rasa cukup dengan apa yang ada bukan bermakna anda tidak perlu berharap atau berjuang. Maksudnya adalah anda perlu mengejar impian dan cita-cita anda, tanpa melupakan segala keseronokan dan kemewahan yang sedang anda kecapi. Untuk rasa cukup dan bersyukur, anda perlu melihat kepada mereka yang tidak memiliki keistimewaan yang and ada. Untuk bercita-cita tinggi, anda perlu lihat mereka yang telah memiliki apa yang ingin anda capai.



3. Ghairah mencuba sesuatu yang baru
Berapa kali dalam hidup anda ingin melakukan sesuatu tetapi anda asyik bertangguh hingga akhirnya langsung tidak berbuat apa-apa tentangnya. Hidup akan meninggalkan kita tanpa sebarang amaran dan peringatan, hingga tanpa kita sedari banyak masa telah kita habiskan tanpa sebarang pencapaian dalam hidup. Masa adalah peluang berharga yang sering kita abaikan. Oleh itu, ayuh! Jangan pandang belakang atau bertangguh, laksanakan impian anda tanpa berlengah lagi.



4. Buangkan sifat tamak
Tamak adalah keinginan yang sukar dipenuhi kerana walaubagaimana banyak sekalipun yang kita miliki ia tidak akan rasa cukup atau puas hati. Ia juga perasaan untuk memiliki apa yang orang lain ada, sehingga apa yang dimiliki oleh orang itu lenyap barulah datang rasa puas hati. Ia adalah penyakit yang menular ke dalam jiwa raga hingga menyebabkan kita hilang apa yang kita miliki dan hidup dengan gundah gulana dan penuh kerisauan.


5. Membantu orang lain
Jika anda rasa ianya membazir masa dan harta, anda patut mencubanya. Kesannya hanya akan dapat dirasa apabila ianya dijadikan tabiat dan dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan.


"Dengan membantu orang lain, kita sebenarnya membantu diri sendiri, kerana segala kebaikan yang kita berikan akan melengkapkan pusingannya dan kembali kepada diri kita semula"

- Flora Edwards



6. Mengambil berat hal orang lain
Adakah anda prihatin untuk mengambil tahu tentang orang di sekeliling kita termasuk tukang cuci di pejabat kita atau sesiapa yang tidak kita kenal tetapi selalu berjumpa di dalam lif di bangunan tempat kita bekerja? Jika ya, tahniah! Ada telah satu langkah lebih dekat dalam menikmati hidup ini seperti sedia ada. Dengan cara ini anda boleh belajar banyak perkara tentang mereka untuk menjadikan hidup anda lebih bermakna, di samping menambah jaringan rakan anda dari pelbagai latarbelakang.



7. Berkongsi keseronokan dan kegembiraan dengan orang lain
Berapa kali anda telah membelikan sekotak coklat, atau membelanja rakan anda makan? Kegembiraan yang anda berikan kepada orang lain dari perkataan dan perbuatan anda akan memberi kesan yang luarbiasa kepada anda dan tidak dapat dikesan dengan alat elektronik yang paling canggih sekalipun.

"Beribu lilin boleh dinyalakan dari sebatang lilin, tanpa memendekkan nyawa sebatang lilin tadi. Kegembiraan tidak akan berkurang walaupun dikongsi dengan orang lain "

- Buddha (563 BC-483 BC




8. Hargailah setiap orang yang ada disekeliling anda
Setiap apa yang belaku dalam hidup anda bukanlah suatu kebetulan. Hargailah setiap kejadian sebagai sesuatu yang berharga dalam hidup anda. Ya, termasuklah musuh ketat dan mereka yang tidak anda senangi. Bukankah dengan adanya mereka anda dapat tahu betapa sabar dan cekalnya anda? Setiap perkara dan kejadian adalah sebahagian dari mekanisma untuk muhasabah diri anda untuk menjadikan ia lebih baik.



9. Hargailah kejadian anda sebagai seorang manusia
KIta diciptakan Tuhan bukanlah dengan sia-sia dan setiap detik kehidupan kita akan diperkirakan. Oleh itu gunakanlah setiap saat kehidupan kita di atas muka bumi ini untuk membawa kebaikan untuk diri kita, mereka di sekeliling ktia, hinggalah kepada setiap makhluk yang bernyawa di atasnya sekalipun.



10. Hargaiah setiap hari yang diberikan dalam hidup kita
Apa perasaan anda jika anda berjumpa doktor hari ini dan dia memberitahu anda hanya ada tiga hari untuk hidup? Bagaimana anda rasa dengan tiga hari tersebut? Sudah pasti anda akan berusaha untuk melaksanakan perkara penting dalam hidup untuk diri anda, mereka yang anda sayangi, malah kepada mereka yang anda abaikan selama ini. Inilah rahsia yang paling utama untuk anda menikmati hidup anda seadanya. Kita perlu hargai setiap hari yang berlalu dalam hidup kita. Kita perlu bersyukur kerana dapat melalui satu hari lagi dalam hidup kita sebelum kita melelapkan mata setiap malam. Dan jika kita dapat menjalani satu hari lagi esok, itu adalah hadiah yang amat besar kepada kita.

"Jadikanlah setiap fajar yang menyingsing sebagai permulaan hidup ini. Dan setiap senja yang berlabuh sebagai penutupnya. Dan biarlah setiap yang hidup dalam kehidupan singkat ini meninggalkan sedikit kebaikan yang dilakukan kepada yang lain"


- John Ruskin (1819-1900)

Pengkritik seni berbangsa Inggeris.





"Impikanlah kejayaan seolah-olah anda akan hidup selamanya,
Jalanilah kehidupan seolah-olah anda akan mati esok hari "
- James Dean